Followers

About Me

My photo
NAMA : Intan Suriana bt Mohidin, lahir pada 21 mei 1989.. anak sulung dr 7 adik bradik.. seorang isteri kepada suami yang sangat penyanyang.. seorang ibu kepada permata hati kurnia ALLAH.. anakanda pertama tersayang, Irdina Safiyya bt idris. Tamat pengajian dalam jururan Pendidikan seni Visual dari IPG kampus Raja Melewar, Seremban.

Friday, April 24, 2009

PROGRAM BINA INSAN GURU

Program Bina Insan Guru (BIG) siri 2, Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan ambilan Januari 2009 bagi unit Bahasa Cina Pendidikan Rendah, Pendidikan Pemulihan dan Pendidikan Seni Visual Pendidikan Rendah telah dijalankan selama 4 hari 3 malam bermula pada 06 april hingga 09 april bertempat di Stesen Penyelidikan Sains Marin (SPSM), Fakulti Sains, UPM di Port Dickson, Negeri Sembilan. Program ini dijalankan bagi menampung 35% keperluan bagi menamatkan Ijazah Sarjana Muda Perguruan kami dengan cemerlang. Terlebih dahulu, saya ingin memanjatkan segala kesyukuran dan terima kasih saya kepada Tuhan kerana telah melindungi saya dan semua yang terlibat dalam Program Bina Insan Guru pada kali ini sehingga kami dapat menempuhi semuanya dengan berjaya sekali. Saya juga turut ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pelaksanaan program ini. Tanpa kerjasama dan sokongan dari semua pihak sudah tentu program ini gagal dilaksanakan dengan sempurna.

REFLEKSI AKTIVITI KEYAKINAN DAN KESELAMATAN DI AIR

Aktiviti keyakinan dan keselamatan di air dijalankan pada hari kedua perkhemahan. Setelah selesai senaman pagi dan bersarapan, kami diminta untuk mengangkat kayak daripada tempat simpanan untuk aktiviti kami pada hari tersebut. Pertama kali sampai ke pantai untuk aktiviti air, saya terpegun dengan keindahan ciptaan Tuhan yang terbentang luas dihadapan saya. Bunyi ombak yang kuat amat mengasyikkan. Ombak yang tinggi, besar dan kuat menyedarkan saya betapa kerdilnya diri saya dalam dunia ini. Saya tidak pandai berenang, ini menambahkan lagi kegerunan saya untuk berhadapan dengan aktiviti ini. Adalakah saya mampu untuk mengatasinya.
Sebelum ini, saya pernah mengikuti aktiviti berkayak semasa saya dalam Program Latihan Khidmat Negara. Namun pengalaman yang saya dapat kali ini amat berbeza berbanding pengalaman yang saya dapat semasa PLKN dahulu. Dahulu, saya hanya berkayak dalam kolam yang tenang tanpa bergelora walau seinci pun. Kali ini, saya menghadapi alam semulajadi ciptaan Tuhan yang amat mengagumkan dan juga menakutkan.
Semasa melakukan aktiviti meningkatkan keyakinan dalam air, kami telah dibawa berjalan hingga ke tengah lautan dengan paras air mencapai dada. Setibanya di satu kawasan, jurulatih meminta kami mengapungkan diri dan memusingkan badan di dalam air. Kemudian, saya dan beberapa orang rakan diminta menganggalkan jaket keselamatan yang saya pakai sebelum berusaha mengapungkan diri secara manual. Saya masih lagi boleh bertahan dan biasa dengan keadaan ini. Saya amat bersyukur kerana dikurniakan sikap yang tabah dan dapat menyesuaikan diri mengikut keadaan, tidak seperti segelintir rakan saya yang takut-takut untuk mencuba dan menjalankan aktiviti yang diarahkan biarpun air dan ombak ketika itu agak tenang. Beginilah keadaan dalam kehidupan seharian dan senario seorang guru iaitu, perlunya kita bersikap tabah dan sabar dalam menghadapi cabaran dan kerenah orang disekeliling kita. walau sebesar atau sesukar manapun masalah yang datang dalam kehidupan kita, kita tidak boleh lari daripada masalah tersebut. Kita mesti menghadapinya dengan tabah sepertimana menghadapi ombak di lautan.
Semasa kami mula berkayak, saya berasa sangat teruja untuk mencuba. Pengalaman yang saya lalui semasa di Kem latihan PLKN mungkin amat berbeza dengan apa yang bakal saya lalui dalam perkhemahan ini. Jurulatih meminta kami mencari pasangan masing-masing untuk berkayak dan saya telah memilih sahabat saya, Noor Fadhilah Binti Mat Hassan. Saya amat berharap, saya dapat mengharungi aktiviti ini
Saya telah menjadi pengemudi iaitu orang yang duduka di belakang kayak. Alhamdulillah, saya dapat meneruskan kayak saya biarpun ombak pada saat itu sudah mulai bergelora. Rakan saya juga mulai mengadu sakit tangan memegang pandle dan mengawal kayak. Namun bagi saya, selagi saya mampu saya cuba sehabis baik dan membantu rakan saya untuk sampai ke tempat yang dituju dan tidak hanyut di bawa ombak. Saya dapat melihat beberapa orang kayak yang hanyut ke tengah lautan dan terpaksa dipandu oleh jurulatih ke laluan yang sebenar. Disinilah saya dapat merasai perasaan bagi orang yang menjadikan lautan sebagai sumber pencarian rezeki dimana mereka terpaksa berhadapan cabaran gelora setiap hari. Saya sangat bersyukur kerana berpeluang untuk merasai pengalaman berjaya melepasi ombak-ombak. Pada masa itu, saya berasa sangat teruja dan gembira. Berkat usaha dan penat lelah, akhirnya berjaya juga. Dalam kehidupan ini, kita juga harus tabah dan sentiasa berusaha. Kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha yang kental. Walaupun, kadang-kadang kita karam seperti menaiki kayak tadi, namun kita harus bangun dan bermula semula. Jika kita tersilap mengemudikan kayak, jangan jadikan kesilapan itu kekalahan kita, sebaliknya jadikan ia sebagai satu pengajaran untuk mengubah cara kita mengemudikan kayak kita pada percubaan yang kan datang. Begitu juga dalam hidup ini, sekiranya kita gagal kerana kita tersilap langkah, maka jadikanlah kesilapan itu sebagai panduan agar kita tidak mengulang kembali kesilapan tersebut pada masa yang akan datang.
walaupun terasa amat letih namun pengalaman yang saya dapat daripada aktiviti berkayak ini amat berguna. Keseronokan dan kegembiraan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata lagi. Selain mempelajari banyak nilai-nilai murni, saya juga turut belajar cara-cara untuk menyelamatkan diri apabila berlaku kecemasan yang melibatkan air. Pengalaman ini amatlah berguna bagi diri saya, anak-anak murid serta orang-orang di sekeliling saya apabila menghadapi kecemasan dalam air pada masa yang akan datang.
REFLEKSI AKTIVITI LATIHAN DALAM KUMPULAN (LDK)

Sepanjang program Bina Insan Guru kali pertama ini, kami telah menjalani 3 aktiviti latihan dalam kumpulan iaitu mengenali potensi diri, motivasi kepuasan kerjaya dan penghargaan kendiri dan perubahan sikap. Saya telah belajar banyak perkara yang beru melalui LDK tersebut. Sesi LDK ini telah dikendalikan oleh ketua fassilitator, Tuan Hj Mohd Ali Bin Jaamat.
Dalam sesi yang pertama iaitu mengenali potensi diri, kami telah diberi ujian untuk mengenali potensi diri masing-masing. Setiap manusia dianugerahkan potensi yang berbeza-beza oleh Tuhan Yang Maha Kuasa. Cuma manusia tidak menghargai potensi yang diberikan dan tidak pandai menggunakan potensi tersebut. Kita sering melihat dan membandingkan bahawa potensi orang lain lebih baik daripada potensi diri kita. Kita mesti bersyukur dengan anugerah Tuhan yang ada pada diri kita, barulah kita nampak bahawa kita juga ada potensi yang lebih baik dan tidak ada pada diri orang lain. Kita sudah dianugerahkan potensi, maka tanggungjawab kita adalah untuk manggunakan, memanfaatkan dan memperkembangkan potensi yang ada pada diri kita itu. Selain potensi yang telah dianugerahkan kepada kita, ada juga potensi yang dapat kita pelajari. Antaranya, sebagai seorang bakal guru, potensi untuk berinteraksi dengan baik bersama pelajar-pelajar merupakan aset yang penting. Tidak semua orang lahir dengan potensi untuk berinteraksi dengan orang lain dengan baik. Namun, semua ini dapat dipelajari melalui pembelajaran yang berterusan dan niat yang murni. Oleh sebab itulah wujud matapelajaran kemahiran berkomunikasi semasa di Institut Latihan Perguruan.
Dalam sesi seterusnya iaitu sesi motivasi kepuasan kerjaya, kami telah diberikan satu senarai sebab kami memilih guru sebagai kerjaya mengikut keutamaan sebab itu. Sesi ini dijalankan bagi meningkatkan motivasi diri seseorang terhadap kerjaya yang dipilihnya. Setiap orang memilih kerjaya berdasarkan Faktor-faktor tertentu. Faktor-faktor inilah yang menjadi pendorong atau motivasi kepada diri seseorang untuk melakukan yang terbaik dalam kerjayanya. Faktor-faktor ini biasanya dibuat berdasarkan kepentingan, kecenderungan dan minat seseorang itu.
Daripada aktiviti ini, kami ditunjukkan dengan graf tentang hasil kerja dan hubungan kita dengan persekitaran dan rakan sekerja. Oleh itu, kita mampu mengenal diri dan cuba membaiki diri pada pada yang lemah dan kurang agar kita mampu diterima dengan baik dan dapat melaksanakan tugasasn dengan selesa bersama dengan orang lain. Ini kerana, sebagai seorang guru, kita bakal berinteraksi dengan pelbagai jenis lapisan masyarakat. Betapa perlunya kita bijak mengawal keadaan dan bersedia untuk dicampakkan kemana sahaja.
Sesi terakhir adalah penghargaan kendiri dan perubahan sikap. Kami diminta untuk meluahkan apa yang kami rasai dan cuba menghargai orang yang telah bersma-sama dengan kami sepanjang perkhemahan ini.
Kita haruslah menerima diri kita seadanya. Dengan sikap begini, kita dapat memberi penghargaan yang terbesar kepada diri kita sendiri. Namun, setiap sikap yang ada pada diri kita tidak semestinya baik dan mantap. Oleh itu, kita haruslah bersedia untuk melakukan perubahan kepada sikap kita. Tidak dapat dinafikan, sikap merupakan salah satu elemen diri yang amat sukar untuk diubah. Tambahan lagi, untuk mengubah yang buruk kepada yang baik. Namun berbekalkan keazaman yang kuat dan keyakinan dari dalam diri kita sendiri, mudah-mudahan usaha kita akan berjaya. Selain itu, kita memerlukan dorongan dari sekeliling kita untuk berubah. Ini kerana, manusia mudah terpengaruh oleh pelbagai anasir yang menghalang perubahan sikap mereka. Orang disekeliling memainkan peranan penting untuk menyokong dan mendorong perubahan sikap mereka. Sebagai seorang guru, apabila ada anak murid kita yang ingin berubah, kita hendaklah menunjukkan kita turut bersetuju dengan perubahannya. Sikap merendah-rendahkan perubahan atau pencapaian pelajar akan menyebabkan mereka berasa rendah diri dan tidak ada keyakinan untuk berubah.

REFLEKSI AKTIVITI DARAT (JUNGLE TREKKING)

Apabila mendapat tahu bahawa kami akan melalui jungle trekking semasa Program Bina Insan Guru, saya tidak merasa begitu risau kerana sebelum ini saya pernah melalui pengalaman yang serupa. Namun, setiap aktiviti yang sama pasti memberi pengalaman yang berbeza. Kita tidak boleh menilai sesuatu tanpa melaluinya terlebih dahulu.
Sebelum menjalankan aktiviti jungle trekking, kami diberikan taklimat tentang apa yang patut kami lakukan sepanjang aktiviti ini dan peralatan yang patut kami bawa sebagai peralatan ketika menjalankan aktiviti di tengah hutan.
Setelah tamat menerima taklimat, kami menyiapkan segala peralatan yang perlu kami bawa seperti bekalan air bersih yang mencukupi, peralatan serta bahan untuk memasak seperti yang telah ditetapkan.
Seperti aktiviti air, kami juga turut dibahagikan kepada dua buah kumpulan besar untuk aktiviti kayak ini.
Aktiviti jungle trekking kami bermula di Taman Rekreasi dan Hutan Simpan Tanjung Tuan, Melaka. Sebelum bergerak ke dalam hutan, sekali lagi kami menerima taklimat daripada pensyarah yang mengiringi kami. Kami diberi tahu tentang adab dan pantang di dalam hutan selain kami diingatkan tentang tugasan untuk mengumpul sekurang-kurangnya 5 jenis tumbuhan dan lima jenis haiwan yang kami temui sepanjang perjalanan ini.
Hutan sememangnya satu ciptaan Tuhan yang amat mengagumkan. Pelbagai flora dan fauna yang terdapat dalam hutan tersebut. Udara amat segar dan nyaman. Hutan yang menghijau dan cantik, di tambah dengan bunyi unggas, dan tumbuhan yang menghijau. Sepanjang perjalanan, kami meredah bukit dan lurah yang cerun dan curam, kawasan batuan yang licin dan berbahaya dan banyak lagi halangan yang kami tempuhi. Suka dan duka kami tempuhi bersama sebagai satu kumpulan . batu-batu yang besar dan licin amatlah berbahaya jika kita tidak berhati-hati. Ini mengajar saya tentang kehidupan kita agar jangan menilai sesuatu berdasarkan kecantikan luaran sahaja. Manusia sering terperangkap dengan kecantikan, dan terlepas pandang nilai-nilai dalaman yang jauh lebih baik. Pengajaran yang saya dapat di sini ialah jangan membuat pilihan berdasarkan rupa yang dapat kita lihat, tetapi lihatlah juga nilai-nilai dalaman yang terdapat dalam pilihan kita.
Kepenatan kami reda seketika apabila kami tiba di Rumah Api Tanjung Tuan. Kami telah disajikan dengan permandangan alam ciptaan Allah yang amat menakjubkan. Pemandangan laut selat melaka dengan air yang biru dan tompokan batu besar yang kelihatan kecil dari pandangan atas. Satu perasaan tenang dan amat indah dapat saya rasai. Saya sedar, betapa penting dan perlunya kita menjaga dan memastikan alam yang dipinjamkan kepada kita ini dijaga sebaiknya.
Kami meneruskan perjalanan kami masuk semula kedalam hutan, untuk sampai ditepi pantai dan memasak bekalan makanan yang kami bawa disana. Setibanya kami disana, kami memasak bekalan yang kami bawa dengan peralatan yang ada dan dengan keperluan yang amat terhad. Namun yang demikian, saya tetap berasa bangga kerana setiap ahli kumpulan memberikan kerjasama yang amat baik maka setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa menghadapi sebarang masalah yang besar. Selesai memasak, makan tengah hari dan membersihkan peralatan yang kami telah gunakan itu, kami membersihkan kawasan sekitar dan meneruskan perjalanan kami untuk sampai ke penghujung. Saya berasa sangat bersyukur kerana mempunyai kawan-kawan sekumpulan yang sangat baik. Kami saling tolong menolong untuk mengangkat barang-barang. Dalam keadaan dunia sekarang, kita akan mula mementingkan diri dalam dua keadaan iaitu terlalu gembira dan kesusahan.
Hasil kerjasama dan interaksi baik yang telah diberikan oleh semua peserta, akhirnya kami telah berjaya menamatkan jungle trekking kami dan sampai semula ke pusat perkhemahan pada jam 2.00 petang.



REFLEKSI AKTIVITI DARAT ( TEORI & AMALI ASAS IKATAN)

kami menjalankan program kami yang pertama iaitu aktiviti teori & amali asas ikatan dibawah seliaan Encik Ahmad Patakon Bin Karino. Aktiviti ini telah dijalankan pada sesi petang hari pertama di pusat perkhemahan tersebut.
Kami telah dibahagikan kepada dua kumpulan besar dan dikehendaki mendirikan satu gadget daripada 15 batang buluh yang boleh memuatkan keseluruhan ahli dalam kumpulan iaitu seramai 30 orang. Memang saya pernah menjadi seorang ahli pengakap ketika dibangku sekolah dulu, namun setelah agak lama meninggalkan sekolah dan tidak dipraktikkan, saya mulai lupa tentang asas ikatan dan cara untuk melakukannya. Kami mengadakan sedikit perbincangan ringkas dikalangan ahli kumpulan tentang bagaimana dan apa yang patut kami lakukan untuk menghasilkan gadget tersebut. Setelah lama berbincang, kami sendiri masih belum mendapat gambaran sebenar tentang apa yang akan kami dirikan. Bila melihat kepada kumpulan yang satu lagi, kami mulai risau dan gelabah apabila, kerangka binaan gadget mereka sudah mulai kelihatan dengan hasil ikatan yang kemas. Saya katakan kepada diri saya dan rakan agar melakukan sebaik mereka. Walaupun, ia dianggap sebagai meniru, tapi saya amat berharap kumpulan saya juga akan melakukan sebaik mereka. Apabila masa sudah tamat, semua peserta diminta mempamerkan hasil ciptaan dan menguju ketahanan gadget yang kami dirikan. Siapa tahu, gadget yang kami sangkakan akan roboh dan kurang berpotensi daripada kumpulan yang satu lagi ini masih mampu berdiri teguh daripada gadget kumpulan lawan yang kecundang di awal percubaan lagi. Dari sini saya mula memahami, netapa kita tidak boleh menilai sesuatu berdasarkan luaran. Luaran yang baik dan kemas tidak semestinya menjanjikan hasil yang baik dan begitu kuga sebaliknya. Apa yang perlu adalah kepercayaana dan keyakinan pada diri kita sendiri. Refleksi bersama fassilitator mengenai aktiviti ini ialah, sebelum kita menghasilkan sesuatu, betapa pentingnya kita mempunyai perancangan yang baik seterusnya perlaksaan yang berkesan. Misalnya, sepanjang aktiviti kami diberikan tekanan tentang masa yang suntuk untuk menyiapkan gadget tersebut. Dari sini, kita perlu sedar tentang betapa perlunya mengawal emosi secara baik untuk mendapatkan hasil tugasan yang sempurna. Seterusnya, motif disebalik aktiviti ini ialah struktur dan asas yang kukuh itu penting untuk membina sesuatu yang mantap. Begitulah, dalam kehidupan realiti kita bahawa asas, organisasi dan stuktur yang kukuh perlu diwujudkan sebelum melakukan sesuatu. Di samping, perlunya wujud kerjasama, dan saling bantu-membantu di kalangan ahli, kerana tanpa pasak yang kuat kita tidak mungkin akan berada di atas.

1 comment:

  1. aiks intan..lama x buka blog ko..haha..buhsan la puloks..hehe..
    wah rajin tol ko buat laporan BIG dlm blog ko ek..hehe..slamat maju jaya..weee=p

    ReplyDelete

mana tau berguna untuk korang bersantai..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...