Followers

About Me

My photo
NAMA : Intan Suriana bt Mohidin, lahir pada 21 mei 1989.. anak sulung dr 7 adik bradik.. seorang isteri kepada suami yang sangat penyanyang.. seorang ibu kepada permata hati kurnia ALLAH.. anakanda pertama tersayang, Irdina Safiyya bt idris. Tamat pengajian dalam jururan Pendidikan seni Visual dari IPG kampus Raja Melewar, Seremban.

Wednesday, June 24, 2009

PAK KADUK >>>> disebalik kisah

"Menang sorak kampung tergadai" sering kali diucapkan oleh ramai orang. Apabila berlaku sesuatu yang diandaikan menggugat kepentingan orang Melayu di negara ini, frasa inilah yang dilafazkan.

Ikon yang acap kali dikaitkan ialah Pak Kaduk, watak 'bodoh lurus' dalam sastera Melayu dan dianggap sebagai setaraf dengan Lebai Malang dan Pak Pandir. Walaupun kisah Pak Kaduk dilihat sebagai kisah teladan dalam cerita rakyat, namun kewujudan Pak Kaduk di alam nyata turut diakui oleh penduduk sekitar Lambor di Parit, Perak. Tanyalah individu yang lahir di Lambor atau yang pernah hidup di situ. Adakah mereka berani memakan ikan tapah?
Pak Kaduk dan ikan tapah amat sinonim kerana menurut cerita lisan masyarakat tempatan, di dalam perut ikan tapah itulah Pak Kaduk diketemukan dengan emas yang membantunya untuk menebus kampungnya yang telah tergadai. Atas �sumbangan� ikan tapah itu, Pak Kaduk bersumpah agar keturunannya tidak boleh memakan dan memegang ikan itu. Sekiranya sumpah tersebut dilanggar, beberapa kesan fizikal seperti gatal-gatal akan dialami.
Sama ada terdapat kebenaran pada kisah tersebut, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Penulis bagaimanapun pernah dibekalkan salasilah keturunan Pak Kaduk dan dimaklumkan bahawa saki-baki emas itu masih diwarisi keturunannya hingga kini.
Signifikan kisah Pak Kaduk dan "menang sorak kampung tergadai" dengan sistem pemerintahan tempatan amat jelas khususnya yang berkait dengan peranan pembesar yang menjadi penasihat istana. Pak Kaduk ialah seorang pembesar desa yang berasal dari Siak dan memiliki seekor ayam jantan yang bernama Biring Si Kunani.
Ayam ini tidak mampu ditewaskan oleh mana-mana ayam jantan dalam acara sabung ayam. Pada masa itu, acara sabung ayam masih menjadi acara tradisi masyarakat Melayu. Ironinya, raja yang memiliki kuasa pemerintahan mutlak pada masa itu turut melibatkan diri dalam aktiviti sosial dan ekonomi rakyatnya termasuklah acara sabung ayam.
Apabila menyedari ayam baginda tidak mungkin dapat menewaskan ayam sabung Pak Kaduk, suatu konspirasi dirancang. Perancangnya ialah golongan pembesar istana dengan objektif utamanya adalah untuk menjaga air muka raja dari segi sosialnya dan menjaga kepentingan ekonomi raja kerana setiap acara sabung ayam ada taruhannya.
Ayam Pak Kaduk ditukarkan dengan ayam raja dan taruhan acara sabung ayam itu ialah kampung halaman tanah milik Pak Kaduk sendiri (ada cerita yang mengatakan termasuk isteri dan anak-anaknya).
Mangsa dalam agenda pembesar istana ialah Pak Kaduk yang dipotretkan sebagai orang yang bodoh. Potret ini berjaya hingga kini malah tertanam dalam setiap minda orang Melayu.

Benarkah Pak Kaduk seorang yang lekeh dan bodoh?

Pak Kaduk seorang pembesar desa dan memiliki seekor ayam jantan yang tidak mampu ditewaskan oleh mana-mana ayam jantan termasuklah ayam milik raja. Jika Pak Kaduk seorang yang bodoh, mana mungkin memiliki seekor ayam yang hebat atau kampung halaman yang luas. Kekuatan ayam itu dalam masyarakat Melayu feudal melambangkan kehebatan pemiliknya.
Pak Kaduk seorang pembesar desa atau jajahan yang hebat tetapi pembesar istana pada masa itulah yang bertanggungjawab mencipta cerita negatif tentang Pak Kaduk bagi menjadikan perancangan dan konspirasi mereka halal dan wajar. Maka lahirlah frasa paling popular untuk menunjukkan kebodohan Pak Kaduk iaitu "menang sorak kampung tergadai".

Dalam konteks kehidupan masyarakat Melayu, frasa menang sorak kampung tergadai masih diungkapkan sebagai suatu peringatan tentang kealpaan masyarakat Melayu dalam menangani situasi zaman yang telah berubah dan sistem pemerintahan yang jauh berbeza. Namun, tidak ramai yang cuba mengungkapkan faktor-faktor frasa tersebut boleh wujud malah kisah Pak Kaduk sering kali ternoktah di situ.

Umum dilihat sepakat tidak menyorot kisah Pak Kaduk selepas menang sorak kampung tergadai. Malah lebih malang Pak Kaduk dijadikan kambing hitam dan teladan negatif tentang kebodohan dan kealpaan manusia Melayu. Pak Kaduk hanyalah antara rakyat yang bodoh, tidak berfikiran panjang, tiada wawasan, tidak tahu berkata "tidak" dan segala bentuk kebodohan dipalitkan kepadanya.
Usaha Pak Kaduk untuk menebus semula hartanya tidak pernah dijadikan teladan positif malah yang anehnya kejelekan perancang konspirasi terhadap Pak Kaduk berjaya disembunyikan daripada penilaian dan pentafsiran umum.
Oleh itu, penulis berpandangan bahawa frasa "menang sorak kampung tergadai" berlaku disebabkan kealpaan dan kerakusan banyak pihak.
Pertamanya ialah dasar pemerintah itu sendiri. Dalam sistem yang mengamalkan raja sebagai pemerintah mutlak, peranan baginda adalah ibarat payung yang menaungi rakyatnya untuk berteduh. Sebagai payung, raja tidak harus berteduh di bawah payungnya sendiri. Dalam erti kata lain, raja tidak seharusnya terjebak atau berebut kepentingan yang sama dengan rakyatnya.
Jika rakyat pada masa itu masih mengamalkan acara sabung ayam, raja perlu mengawasinya agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti pergaduhan atau taruhan yang melampau dan bukannya bertindak sebagai salah seorang pemain. Jika berlaku perebutan kepentingan, maka rakyat akan kalah atau sengaja mengalah dan memberikan kepentingan itu untuk raja atas kapasiti tidak mahu derhaka, menerima konsep daulat dan tulah raja.
Dalam sistem pemerintahan moden, peranan raja masih sebagai payung untuk rakyatnya berteduh tanpa mengira fahaman politik, anutan agama dan kepelbagaian etnik. Peranan pentadbiran dilakukan oleh kuasa eksekutif dengan dasar-dasar yang membela rakyatnya. Dalam apa-apa situasi sekalipun, rakyat yang menjadi fokus.
Jika raja dan eksekutif benar-benar berpaksikan dan menjaga kepentingan rakyat, situasi "menang sorak kampung tergadai" tidak mungkin berlaku. Rakyat yang sememangnya berhak untuk mendapatkan pembelaan tanpa mengira fahaman politik, agama dan etnik perlu diberikan haknya.
Raja dan eksekutif tidak seharusnya terlibat dalam sebarang bentuk kepentingan yang sama dengan rakyat sama ada dari segi ekonomi atau sosial tetapi perlu memastikan sebarang bentuk yang mengurangkan kepentingan rakyat seperti penyelewengan dalam pentadiran dikurangkan dan seterusnya dihapuskan.
Keduanya ialah peranan pembesar atau penasihat istana yang tidak berfungsi untuk memperkukuh fungsi raja sebagai payung. Mereka memberi nasihat yang salah, iaitu raja perlu menjadi salah seorang pemain dalam acara tersebut dengan meletakkan taruhan sebuah kampung, iaitu simbol harta milik rakyat.
Raja perlu mengambil kesempatan ini kerana pembesar istana sedia untuk merancang konspirasi menukarkan ayam baginda dengan ayam Pak Kaduk. Pembesar istana seharusnya bersikap sokong mengukuhkan pagar dengan menasihatkan raja bahawa baginda tidak perlu masuk campur dalam acara kampung yang melibatkan kepentingan ekonomi dan sosial rakyat atau tidak meletakkan kampung halaman Pak Kaduk sebagai syarat taruhan.
Pembesar istana berselindung di belakang raja dan yang dilihat adalah pertembungan antara raja dengan rakyatnya. Mereka tergamak merampas tanah Pak Kaduk dengan cara tipu helah dan konspirasi yang licik sehingga tiada apa-apapun harta milik Pak Kaduk yang tinggal. Pak Kaduk menjadi mangsa pembesar istana untuk menambahkan koleksi harta raja dan mengekalkan kemuliaan mereka pada pandangan umum.
Dalam merancang konspirasi ini, apakah bentuk perbincangan antara pembesar atau penasihat istana dengan Pak Kaduk? Adakah wujud unsur-unsur ugutan hingga Pak Kaduk sanggup menukarkan ayam sabungnya dan pada masa yang sama mempertaruhkan semua hartanya?
Perkara-perkara tersirat yang berlaku antara pembesar atau penasihat istana dengan Pak Kaduk tidak pernah dibincangkan secara terbuka sedangkan pelaku utama tercetusnya menang sorak kampung adalah dalam kalangan yang rapat dengan istana. Mereka boleh sahaja menukarkan ayam Pak Kaduk tetapi tidak meletakkan kampung halaman beliau sebagai taruhan. Kenapa pembesar atau penasihat istana tidak melakukan perkara begini?
Matlamat mereka hanyalah diri mereka sendiri dengan meletakkan keselesaan raja sebagai pelindung kerana jika raja dalam keadaan selesa, mereka juga akan selesa.
Jika dinukilkan kisah ini dengan sistem pemerintahan moden, pembesar atau penasihat istana adalah kalangan mereka yang dari segi pendidikannya jauh lebih bijak. Jika "menang sorak kampung tergadai" tidak ingin diulangi, mereka seharusnya benar-benar berfungsi untuk memperkukuh institusi raja dalam konteks raja berperlembagaan.

Bagi rakyat terbanyak, walau apapun yang dilakukan oleh raja dan pembesar istana namun ketaatan dan kesetiaan kepada raja tidak terurai. Apabila Pak Kaduk bersorak melihat ayam miliknya yang telah berpindah milik itu menang, dia tetap bersorak kerana baginya yang menang ialah rajanya.
Tanahnya digadai kepada rajanya sendiri kerana Pak Kaduk sedar dalam apa-apa situasi sekalipun, rakyat akan mengalah dengan kehendak rajanya.
Oleh sebab itulah Pak Kaduk tidak pernah menyusahkan rajanya untuk merayu bagi mendapatkan semula tanah kampung halamannya kerana dia sedar jika raja berfungsi sebagai payung yang menaungi rakyatnya, raja dan penasihat baginda tidak akan tergamak mengambil hartanya.
Sesuatu yang masyarakat umum lupa atau sengaja dilupakan adalah tanah yang tergadai itu ditebus semula oleh Pak Kaduk tanpa bantuan raja atau pembesar istana. Maknanya, dalam erti kata lain rakyat sendiri yang akan menebus harta mereka akibat kerakusan pemerintah mereka sendiri.
Kisah Pak Kaduk sebenarnya tidak berakhir di situ. Setelah hartanya ditebus kembali, beliau dilantik sebagai salah seorang pembesar istana untuk membantu raja membawa balik Puteri Limau Purut.
Walaupun pelbagai interpretasi boleh ditafsirkan namun kisah Pak Kaduk dan menang sorak kampung tergadai tidak harus dilihat sebagai hanya kealpaan rakyat tetapi perlu juga ditafsirkan sebagai manifestasi kerakusan dan keegoan pemerintah serta individu di sekeliling mereka dalam melaksanakan fungsi dan peranan mereka.

fikir2kan lah.
siapakah yang anda mahu jadi, raja, penghulu , pak kaduk atau cukup sekadar sebagai rakyat jelata yang hanya tahu sekadar memandang...

2 comments:

  1. pak kaduk...dah lupa citernya,,,

    ReplyDelete
  2. btol jugak...
    bila difikirkan sedalam2nya..
    kita boleh nmpak yang pak kaduk sebenarnya sseorang yang berpengaruh. bukan seorang yang dungu dan naif seperti yang kita paham sekarang ni..

    begitu la jugak dengan cerita pak pandir or cerita2 dongeng rakyat yang lain.mungkun ada maksud lain disebalik cerita tuh.. seharusnya kita berfikir dari sudut yang positif dan selusuri maksud tersirat yang cuba disampaikan....

    ReplyDelete

mana tau berguna untuk korang bersantai..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...